Pages

Ads 468x60px

Wednesday 14 November 2012

Tuesday 6 November 2012

LADA HITAM DI SARAWAK





Ini lada hitam yang telah diproses dan sedia digunakan.
Ini buah lada hitam yang masih belum dipetik daripada pokok induk.

Ini rupanya pokok lada hitam.
Lada, rempah yang digunakan dengan meluas sebagai perasa makanan,adalah buah daripada tumbuhan tropika jenis memanjat, Piper nigrum L., yang berasal dari Barat-Daya India. Di Sarawak, lada telah ditanam sejak tahun 1856 tetapi penanaman secara meluas bermula pada tahun 1900-an.
Kini, lada masih merupakan salah satu tanaman kontan yang penting sebagai punca pendapatan untuk kira-kira 67,000 penduduk di kawasan pedalaman Sarawak. Keluasan purata kebun lada adalah 0.2 hektar. Lada banyak ditanam di beberapa daerah di Bahagian Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong dan Sarikei. Anggaran semasa kawasan penanaman lada ialah kira-kira 13,000 hektar.
Malaysia mengeksport sebanyak 19,748 tan metrik lada pada tahun 2004 dan 18,824 tan metrik pada tahun 2002 yang masing-masingnya bernilai RM113.2 juta dan RM120.0 juta. Hampir 98 peratus pengeluaran lada di Malaysia adalah di Sarawak. Pengeluaran untuk tahun 2004 adalah 20,000 tan metrik. Malaysia kini menduduki tangga kelima negara pengeluar lada dunia selepas negara Vietnam, India, Indonesia dan Brazil.
Bentuk Lada untuk Eksport
Kira-kira 95 peratus perdagangan lada dunia adalah dalam bentuk lada hitam dan putih, manakala selebihnya adalah dalam bentuk oleoresin lada, minyak lada, lada hijau dan lada kisar.
Tanaman Lada
Pokok lada hidup subur di kawasan beriklim tropika yang panas dan lembap. Lazimnya, lada dibiak daripada keratan batang dan pembiakan menggunakan biji jarang dilakukan. Sistem akar berkembang daripada akar adventitius yang terbentuk pada bahagian buku keratan batang yang ditanam. Daun akan keluar pada setiap buku semasa peringkat tumbesaran keratan pucuk utama. Akar adventitius juga akan berkembang untuk membantu pucuk melekat pada tiang sokongan. Pada setiap buku, mata tunas aksil tumbuh menjadi dahan sisi dan seterusnya akan mengeluarkan sulur buah.
Bunga lada keluar pada buku yang bertentangan dengan setiap daun di dahan sisi. Kebanyakan kultivar lada mempunyai bunga dwiseks yang kebiasaannya mengalami pendebungaan sendiri. Buah lada yang lebih dikenali sebagai beri, berwarna hijau dan berkeadaan lembut di peringkat awal pembentukan. Ia bertukar ke warna hijau tua dan menjadi keras apabila matang. Kulit luar (eksokarpa) berwarna kuning dan merah cerah dan menjadi lembut apabila masak. Setiap beri lada mengandungi biji tunggal yang diselaputi isi buah (mesokarpa). Lada hitam terdiri daripada keseluruhan beri yang telah dikeringkan manakala lada putih adalah biji lada.
Rasa pedas buah lada adalah disebabkan oleh kehadiran alkaloid piperine, chavisine dan piperettine manakala minyak pati menghasilkan aroma lada. Kedua-dua sebatiantersebut membentuk oleoresin yang dapat diperolehi melalui proses ekstraksi pelarut. Kepedasan lada juga dipengaruhi oleh varieti dan persekitaran penanaman lada.
PENANAMAN LADA
Di Sarawak, lada ditanam sebagai tanaman tunggal (monocrop) tanpa naungan terutamanya di kawasan lereng yang bercerun landai dan curam. Untuk kebun lada yang terletak di kawasan rendah dan mendatar, sistem parit perlu disediakan. Pokok lada ditanam di atas busut yang disediakan semasa penyediaan tanah. Secara tradisional, pekebun mengamalkan merumpai bersih kebun lada mereka. Amalan ini sering mengakibatkan hakisan tanah yang teruk, oleh itu pekebun lada kini digalakkan menanam tanaman penutup bumi.
Menanam di ladang
Masa yang paling sesuai menanam lada adalah di antara bulan Oktober hingga Disember. Bahan tanaman yang boleh digunakan ialah keratan tanpa akar, keratan berakar atau keratan dalam polibeg. Jarak antara tanaman yang disyorkan ialah 2.5m x 2.0m (2,000 pokok lada/hektar). Keratan yang baru ditanam perlu diberi naungan atau lindungan sehingga ia tumbuh dengan sempurna.

 

TOTAL SITE VISIT

Website counter

ENGLISH LEVEL TEST

CHERISH THE TIME

MAKE YOUR PLAN